Wednesday, June 21, 2006

Mengapa saya terus saman Mahathir ~ Anwar

RAMAI yang menanyakan mengapa saya memilih untuk meneruskan kes saman terhadap Tun Dr Mahathir. Saya harus tegaskan bahawa selepas bebas, saya telah menyatakan berulang kali, saya maafkan dan bercadang untuk meneruskan perjuangan untuk menegakkan agenda baru buat Malaysia.

Tetapi Tun Mahathir mengulangi kata-kata fitnah beliau dengan cara biadap berulang kali. Saya pada peringkat awal mengepikan sahaja dan menjawab secara politk. Tetapi setelah berbincang dengan rakan-rakan, peguam dan ramai teman-teman lain termasuk di kalangan sarjana dan ulama dalam dan luar negara, mereka mengusulkan supaya hal dibawa ke tengah dan dihadapkan ke mahkamah.

Berdasarkan pengalaman, saya tidaklah begitu cenderung menyerahkan kes ini untuk pertimbangan mahkamah di Malaysia kerana apa yang sebut oleh (allahyarham) Tun Sufian dulu sekitar tahun 2001, bahawa kalau beliau sendiri selaku bekas Ketua Hakim Negera terpaksa berdepan dengan mahkamah dalam keadaan sekarang ini, beliau sendiri tidak begitu cenderung untuk menyerahkan nasib untuk pertimbangan mahkamah, yang beliau punyi persepsi cukup negatif.

Walau bagaimana pun kita teruskan, dan bila saya teruskan kali ni, saya tidak akan melindungi fakta atau memilih untuk menghalang dari mengeluarkan hujah dan keterangan yang cukup kuat. Sebab itu dalam kes seperti Perwaja, Konsortium Perkapalan, Bakun, wang dan dana umno yang dianggap sekitar RM8 billion; itu akan diperkukuh dengan hujah, dokumen dan data yang saya perolehi dan akan ketengahkan pada waktunya.

Alhamdullillah, dalam kes yang melibatkan saudara Sukma Dermawan adalah satu permulaan yang baik kerana mahkamah rayuan telah menolak dan mengenepikan keputusan majestrit yang dibuat dalam tempoh setengah jam dalam tahun 1998 tanpa mengikuti prosediur yang sah. Ini memungkin kita membuka semula seluruh cara, taktik kotor dan jahat yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara, Polis dan Hakim.

[Rakaman langsung bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Anwaribrahimblog, 18 Jun lalu]

[kembali ke halaman utama]

Sunday, June 04, 2006

...Satu permulaan

SALAM perjuangan,

Angin perubahan mulai bertiup kencang. Selepas lebih tujuh tahun tercetusnya Reformasi 1998, Parti Keadilan Rakyat (keADILan) boleh berbangga apabila gagah mengharungi ribut dan gelombang politik yang maha dahsyat.

Tatkala ramai yang bercakap tentang Pilihanraya Negeri Sarawak, dan kemenangan sulong keADILan di Pandungan, saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampong; Parit Sulong. Dan, dengan segera saya mengatur program yang julung-julung kalinya dianjurkan keADILan Bahagian, iaitu, membawa turun Naib Presiden, Saudara Azmin Ali ke pangkuan saudara-saudara semua. Yang membanggakan, program ini didukung kuat oleh tenaga muda yang cukup bersemangat, disamping, tokoh-tokoh lama yang kental bertahan habis-habisan.

Lawatan kerja Saudara Azmin pada 26 Mei lalu sangat berjaya. Umno dan Barisan Nasional (BN) mulai bergegar. Lebih seribu lima ratus orang hadir di Markaz Tarbiyah Parit Sempadan, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah. Semua orang kuat Umno Johor disentuh Azmin, termasuk ketidakupayaan pemimpim Umno Parit Sulong untuk menegur keputusan tidak konsisten Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan kepentingan Negara.

Misalnya, isu “jambatan bengkok.” Apabila kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek itu, semua pemimpin BN sokong. Dua minggu kemudian, apabila Abdullah membatalkannya pula, pemimpim BN juga tidak semena-mena juga angguk-angguk kepada.

Apakah keputusan yang begitu penting, yang melibatkan begitu banyak wang rakyat, boleh diubah-ubah dengan mudah? Di manakah prinsip dan maruah pemimpin BN Johor?

Pengalaman lebih tujuh tahun membuktikan bahawa pemimpim Umno-BN yang ada hari ini sudah lupus idealisme dan nilai kemanusiaan. Fikiran mereka beku. Misalnya, kita dapat lihat bagaimana dalam kes dan fitnah yang dilemparkan ke atas mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tidak ada seorang pun pemimpin [atau bekas pemimpim] Umno-BN di kawasan Parit Sulong ini bangkit untuk menyatakan kebenaran dan membela yang teraniaya dengan nada cukup tegas. Semua mereka menikus, walaupun di hadapan rakyat masih cuba menunjukkan belangnya.

Seperti kata Azmin, mereka ini semua pemimpin yang bacul! Dan, apakah pemimpim yang bacul begini boleh diharap oleh kita semua untuk mempertahankan hak negeri dan rakyat? Tentu jawapannya tidak! Oleh yang demikian, tidak hairanlah kalau projek sepenting pembinaan jambatan Johor-Singapura juga menjadi main-mainan di mata mereka.


Pilihanraya Kecil di Johor?

Selain itu, Saudara Azmin juga menyentuh maklumat yang diperolehi daripada Putrajaya di mana kemungkinan akan berlaku Pilihranaya Kecil di negeri ini. Keputusan Abdullah itu berikutan daripada skandal seks yang melibatkan pemimpim tertinggi Umno Johor dengan seorang anggota exconya sendiri. Bahkan, di peringkat akar umbi, pelbagai khabar angin sudah pun tersebar, termasuk ada yang menyatakan pasangan tersebut diberkas di Singapura. Sudah tentu kita mendesak agar Menetri Besar, Abdul Ghani Othman jawab bagi pihak BN negeri. Ghani perlu jawab segera!

Begitu juga kes yang melibatkan Ahli Parlimen di kawasan ini, di mana, beberapa bulan lalu, tersebar sms yang menyatakan bahawa pemimpin muda Umno ini mempunyai skandal sejak sebelum memenangi kerusi Parlimen. Sewaktu kempen, beliau tidak putus-putus menyinggung perasaan orang Melayu, orang Jawa, orang Bugis dengan menuduh semua kaum-kaum yang berada di dalam parlimen Parit Sulong ini bodoh-bodoh belaka. Suara sombong tersebut bukan sekali dilemparkan. Sebagai orang yang berdarah Arab, beliau berkata, hanya beliau yang boleh menyelamatkan bangsa-bangsa lain.

Kenyataan melampau, sombong dan tidak bermoral ini sesungguhnya telah menyinggung perasaan kita semua. Keghairahan berpolitik dan merebut jawatan, bodek, dan khianat menjadikan pemimpim muda tersebut lupa bahawa langit politiknya tidak selalu cerah. Beliau, tentu sahaja bersama kuncu-kuncunya cuba untuk memperkukuh kedudukan politik, tetapi, kelakuan dan tindakkan beliau sendirilah yang sesungguhnya membunuh karier politiknya.

Selepas lebih sebulan saya meninjau sendiri ke peringkat akar umbi, saya semakin yakin bahawa obor perubahan di Parit Sulong semakin jelas. Sokongan yang luar biasa masyarakat pelbagai bangsa terhadap keADILan membuktikan bahawa parti ini rupa-rupanya persis “juru selamat” yang ditunggu-tunggu.


Bekerja gigih

Namun begitu, masih banyak kerja yang perlu dilakukan, dan saya bersama teman-teman mulai mengatur pelbagai aktiviti, terutama yang melibatkan penerangan kepada masyarakat. Minda masyarakat kita sedang meronta-ronta mahu mendapatkan maklumat yang seimbang, walaupun setiap saat, mereka disumbat dengan dakyah daripada media milik pemerintah.

Oleh itu, bagi menyegerakan proses berkenaan, keADILan bahagian Parit Sulong sedang berusaha untuk menerbitkan newsletter (surat berita) yang akan dicetak dan dibahagi-bahagikan kepada semua. Dalam pada itu, saya tetap berjanji akan menerbitkan “Dokumen keADILan Parit Sulong” sebagai pemangkin kepada kebangkitan orang Johor keseluruhnya.

Amaran saya kepada pemimpim yang sombong dan angkuh itu, apa yang kamu lihat ini hanya satu permulaan sahaja. Pembohongan dan hilangnya prinsip dan idelisme kamu sejak sekian lama akan kelak dilondehkan oleh masyarakat kita sendiri. Semuanya mulai terdedah. Satu-persatu!

Sekian. Jazakumullah Ukhairan-Khatira.

Hasmi Hashim
4 Jun 2006 / 8 Jamadil Awal 1427
Parit Sulong, Johor.

[kembali ke halaman utama]