Sunday, March 04, 2007

[ Nota Ketua Bahagian ]

Kampung Kita Penuh Rasuah

Saudara-saudari,

TERIMA KASEH atas kepercayaan yang diberikan ahli-ahli Parti kepada saya bagi memimpin keADILan Bahagian Parit Sulong dalam Mesyuarat Agung 27 Februari lalu. Saya menerima ucapan tahniah pelbagai pihak yang mengirim sms, atau menelefon.

Karena jawatan ketua bahagian bukan hanya di Parit Sulong, maka tidaklah begitu istimewa menjadi ketua bahagian. Bagi keADILan sahaja ada 165 bahagian di seluruh negara. Tapi, kalau pun ada yang istimewa, bak kata teman, “kau ketua bahagian paling muda bagi seluruh parti-parti politik…”

Saya tergamam. Dan, andainya benar kata kawan itu, maka saya berbangga karena menyertai sebuah parti yang memberi ruang cukup luas untuk tokoh muda meniti jalan perjuangan.

Diinsafi betapa rasuah dan pengkhianatan para pemimpin pemerintah, dan segelintir kakitangan mereka digembar-gemburkan di peringkat nasional; kami juga pasti gelaja seumpama turut berlaku di daerah Batu Pahat. Turut bergelumang dalam kawasan Parlimen Parit Sulong ini. Kejijikan korupsi dan rasuah menjadi amalan di kalangan pimpinan muda parti pemerintah. Dalam kandang Umno, pemimpin muda sememangnya sudah lama hilang idealisme perjuangan…

Beberapa projek, misalnya, berlegar sesama sendiri. Dalam kata mudah, projek pembangunan untuk rakyat sering kali mengalir ke kantong Umno dan pemimpinya—termasuk projek yang sewajarnya dilaksanakan oleh Pejabat Daerah. Kesannya, projek pembangunan yang sewajarnya memberi kesejahteraan kepada rakyat pun jadi sia-sia belaka.

Ada dewan orang ramai dan balai raya yang tidak digunakan—melainkan untuk aktiviti pemimpin Umno. Malah, medan ikan bakar yang harganya berjuta ringgit dan jeti nelayan juga tidak dapat digunakan oleh penduduk kampung dan nelayan kecil sekalipun projek itu sudah lebih 2 tahun dimulakan. Masyarakat juga tidak buta betapa di daerah ini dipenuhi dengan projek-projek gajah putih, termasuklah bangunan pasar baru di tebing sungai Batu Pahat itu yang dimamah usia dan semakin buruk.

Mengapa semua ini terjadi? Jawapannya; kerana ketamakan pemimpin parti pemerintah membolot harta dan jadi kaya-raya. Kalau turun ke kampung, kalau rakyat mohon projek, mereka tersenyum riang. Melalui projek-projek berkenaanlah, kantong mereka jadi lebih tebal dan tebal, dan tebal.

Tunjukkan kepada saya rumah-rumah wakil-wakil rakyat Umno-BN yang sederhana. Tidak ada! Bahkan, sebelum Idul Fitr yang lalu, mereka berlumba-lumba memperbesarkan rumah menjadi banglo mewah!

Demi itu, di atas penderitaan dan keluhan masyarakat yang kami dengar saban masa, kami bertekad menentang satu demi satu penyelewangan yang dilakukan oleh orang-orang politik itu, yang bertenggek atas kekuasaan... yang ketawa terbahak-bahak di atas linangan air mata rakyat di sini!

Hasmi Hashim
4 Mac 2007

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home