Sunday, July 23, 2006

Kepada yang bukan Anwar Ibrahim

OLEH Hasmi Hashim


ANWAR, yang pada usia muda dihumban ke penjara hampir dua tahun; yang pada usia sekarang, baru keluar jeriji besi apabila Mahathir, dengan cara mengikat tengkok-tengkok Hakim dan Peguam Negara, menghumban Anwar enam tahun. Genap. Siapa sanggup?

Tidak ada pemimpin lain yang dapat menandingi rekod sebegini ~ sebuah usaha mempertahan idealisme; karena, perjuangan politik, tidak cukup dengan segala tindak politik. Jauh lebih mendasar, ialah, bertahan dengan idealisme dan prinsip perjuangan.

Tapi, bagaimana bisa kita mampu berbicara dan berpegang kepada idelisme dan prinsip, sedangkan, ramai sekali yang tidak sedikit pun dia sedar, apa itu idealisme dan prinsip? Bagaimanakah kita bisa bicara?

Kenyataan Keadilan Bahagian Parit Sulong cukup tegas, iaitu, adalah menjadi hak Anwar untuk memaafkan Mahathir secara peribadi, atas dosa dan fitnah dan kutukan yang dilempar Mahathir atas batang tubuh Anwar. Fitnah itu adalah fitnah yang paling besar dalam sejarah politik tanahair, bahkan, tidak kalah di mana pun.

Jarang sekali, seorang perdana menteri, atau ketua negara—di mana-mana muka dunia sekali, termasuk di Barat dan bukan Barat—yang tergamak dan sanggup memfitnah orang nombor dua dalam negara, dengan tuduhan paling hina dan jijik. Yang, akan terkesan bukan sahaja kepada Yang Kena Tuduh, tetapi juga anak dan isteri; ke atas keluarga dan seolah-olah tidak terampun sampai tujuh keturunan.

Dalam keadaan begitu rupa sekali pun; dalam keadaan yang Anwar jelas menjadi mangsa, secara “batang tubuh,” Anwar membuat kenyataan bahawa beliau boleh memaafkan Mahathir.

Saya segera teringat Nelson Mandela. Daripada sebuah buku yang berjudul “Long Walk to Freedom,” saya teringat bagaimana Mandela menjadi seorang yang juga berkonsilidasi dan memaafkan, dengan rendah diri ~ kalau tidak, selepas sekian tahun beliau berkuasa, mungkin sahaja, jutaan orang dihumban juga ke penjara, atau, dendam pun berbalas. Mandela tidak begitu. Anwar juga memilih jalan yang tidak begitu. Tidak berdendam secara peribadi dengan, termasuk, Mahathir.

Mahathir dimaafkan, atas dosa batang tuboh ; tetapi, bukan “dosa politik.” Anwar tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia yang menanggung hidup derita di sepanjang pemerintahan Mahathir. Anwar tidak mahu berlagak mewakili mahasiswa yang ditendang universiti karena menyokong Gerakkan Reformasi selepas 1998. Anwar juga dengan rasa rendah diri, tentu sedar, dia tidak akan mewakili sesiapa pun untuk memaafkan “dosa politik” Bekas Perdana Menteri itu.

Lebih setahun dia ke sana-sini; ke seluruh dunia. Anwar, barangkali menjadi ‘sumber’, juga membina rangkaian politik, tidak kira dengan sesiapa, yang, asalkan kepada mereka, perjuangan keadilan dan kebebasan mahu mereka terima. Anwar tahu, dalam negara, semuanya sudah tertutup, katup, dan tidak mungkin lagi.

Tapi ramai yang minta dia balek, dan kini, dia sudah balek... Kita sewajarnya menyambut dengan semangat perjuangan; bukan berpatah balek atau berselekoh.

Memang, seperti Mandela, kesempatan keluar penjara adalah kesempatan untuk meneruskan perjuangan membawa demokrasi dan keadilan. Tapi, hubungan Anwar-dengan-Amerika dipersenda. Bahkan, tidak kurang yang lupa bahawa “Amerika” juga bermaksud puluhan juta umat Islam di sana. “Amerika” juga bermaksud tokoh-tokoh Islam seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga di sana. Malah, ramai lagi. Jadi, yang mereka benci dan marah itu; menyentuh “Amerika’ yang mana?

Amerika yang melancarkan Perang-Iraq, yang mencatur tindakkan tidak berhati perut Tentera Zionis Israel adalah "Amerika yang lain"; yang tidak didokong oleh Anwar dan Keadilan, tentunya.

Saya ulangi, dalam keadaan bukan sahaja tidak punya kuasa politik, malah disekat untuk bergiat dalam negara, Anwar menjadi satu-satunya tokoh pemimpin Islam yang mampu berhadapan dengan Bekas Setiausaha Pertahanan Amerika, Paul Wolforitz, dan bercakap yang lebih kurang begini: Saudara Paul Wolforitz, tolong bawa keluar Tentera Amerika daripada bumi Iraq, segera!”

Orang kata, Paul mungkin tidak mendengarnya. Tapi, saya ingin bertanya, siapa lagi yang pernah bercakap begitu kepada seorang pemikir di belakang kaum neo-conservative yang melancarkan perang. Ada orang kata, Anwar tidak punya kuasa, dan karena itu, Paul tidak akan mendengar… saya kata, orang yang berkata itu adalah orang yang jelas angkuh dan tidak berdaya berbuat apa pun; baik di sini, apatah lagi di Amerika.

Di sini, cermin balek (muhasabah) jadi sangat penting, tentunya…

Lantas, istilah “constructive angagement” yang beliau ucap dengan penuh sedar dan jujur dipersenda, dengan, beberapa kerat tiba-tiba menggunakan istilah sama untuk mengizinkan laku untuk rapat dengan Mahathir. Tidak, menjalin hubungan politik dengan Mahathir bukan “constructive angagement.” Itu adalah sikap politik. Ia tidak perlu. Ia strategi yang mendekati bencana.

Ia tidak perlu karena Mahathir tidak membawa isu baru. pembongkaran Mahathir adalah karena semakin hari semakin kepentingannya terjejas. Abdullah yang menjadi Perdana menteri adalah Abdullah yang perlu memunggah kepentingan juga. Politik Barisan Nasional seluruhnya adalah politik kepentingan. Cuma, yang tinggal: Anwar.

Di sinilah bezanya politik Anwar dengan pendedahan politik gaya Mahathir. Anwar tidak perlu memilih-milih untuk melakukan setiap pendedahan. Tetapi, Mahathir, sangat terpilih. Mahathir tidak akan mendedahkan apapun, kalau, tidak mempunyai kepentingan langsung dengan beliau, atau dengan suku-sakat dan kerabat beliau.

Mungkinkah Mahathir akan mendedahkan skandal Perwaja? Tidak. Apakah Mahathir akan mendedahkan kerugian BMF di Hong Kong pertengahan 1980-an dulu? Tentu juga Tidak! Beliau tidak akan mengaku bagaimana sejumlah besar wang negara dihabiskan untuk membiaya projek-projek mega, yang mana, tender projek itu berlegar di kalangan manusia yang tunduk atas kepentingan Mahathir. Mahathir juga tidak akan mengaku bahawa dialah yang mengarahkan pembunuhan terhadap Ustaz Ibrahim Libya di Memali sebelum lari ke China pabila pembunuahn itu berlaku. Atau, Mahathir juga tidak akan mengaku betapa dia jugalah yang memberikan projek-projek bikin kubah masjid utama kepada sebuah syarikat yang rapat dengan pengganas. Ini antara dosa politik Mahathir.

Pendedahan kecil dan terpilih Mahathir, tidak mungkin dapat menutup pekong dan bangkai yang sebegitu besar, atas pundak bangsa dan negara ini. Tidak mungkin!

Lantas, politik adalah mainan realiti. Kita tahu. Selepas itu datang “strategi.” Itu pun kita tahu. Tapi, tidak ada strategi yang lebih ampuh kalau ia tercabut daripada prinsip dan idealisme. Sesiapa yang merenung jalan Anwar naik meniti tangga politik, terutama sejak bersama Umno, bukan hanya dengan “strategi.”

Kala itu, Anwar juga dilihat sebagai tokoh muda, yang, antara lain, berpegang teguh dan mempunyai istiqamah cukup ampuh. Jelas hal perjuangan, yang, tidak lain tidak bukan adalah untuk membuka ruang kebebasan, tanpa, mencela kemurnian dan kesucian apapun, termasuk ugama. Di sanalah kekuatan Anwar. Dalam segala bentuk intrik dan plot dan konspirasi yang menjelekkan ~ yang sanggup mengizinkan apa jua bentuk tindakkan politik, yang difikir, akan memberi kemenangan.

Lantaran itu, fokus rakyat terbanyak tidak akan dapat dialih. Usaha menyatukan bangkangan untuk berhadapan dengan BN jadi begitu payah. Payah sebab ego. Sebab tidak jelas bahawa inti kepada syariah adalah menegakkan keadilan; tak kira kepada orang Islam dan bukan Islam. Kepada Melayu dan bukan Melayu. Bukan retorika lain. Tidak ada. Karena itu, tugas kita; harapan rakyat yang sedang digalas, ialah, tidak lain tidak bukan, membawa perubahan ke arah kebaikkan. Ke arah kerajaan yang adil dan telus. Menghapuskan semua undang-undang dan akta draconian dan zalim.

Kita belum teruji ke penjara, tetapi, kepada yang bukan Anwar Ibrahim, tidak mustahil ada cemburu, ada ego dan segala syak wasangka, dan mengizinkan laku; mengepikan hasrat dan cita-cita bangsa...

Apakah masyarakat sudah memaafkan dan melupakan segala kebejatan Mahathir? Saya tidak fikir begitu… Namun, saya juga cukup sedar bahawa adalah menjadi hak kepada rakan parti pembangkang, tidak kira Pas atau DAP untuk menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja, termasuk Mahathir.

Dalam semua keadaan, dalam ribut dan badai; saya masih percaya kepada orang bawah—mungkin orang Keadilan, Pas, DAP, malah Umno; yang berparti dan tidak berparti—yang, jauh lebih jujur walaupun mereka dilihat tidak punya kuasa membuat keputusan. Tidak… mereka masih mempunyai kuasa dan akan tetap membuat keputusan.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home