Friday, June 01, 2007

Syabas kepada Pas

SAYA mahu merakam ucapan syabas dan tahniah kepada saudara-mara dan teman-teman ahli dan pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (Pas) karena berlangsungnya Muktamar Tahunan Pas kali ke-53 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan. Tiada ada yang lebih menggembirakan selain melihat parti sahabat ini tegar melalui proses demokrasi dalaman parti dengan meneruskan permilihan dalam parti.

Belum pun seminggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) juga menunaikan tanggungjawab seumpama dalam Kongres Tahunan ke-3 di Seremban; juga dengan proses demokrasi yang matang. Perbezaaan kedua parti pembangkang ini—Keadilan dan Pas—dengan parti pemerintah adalah apabila kita berani dan dengan dewasa meneruskan proses demokrasi dalam parti. Sama sekali tidak seperti Umno yang menangguh proses demokrasi hanya dengan alasan Pilihanraya Umum semakin hampir.

Bagi saya, alasan berkenaan sama sekali tidak waras dan ia adalah faham politik autoritarian. Tidak hairan seandainya suatu waktu nanti, Umno tergamak menutup semua pintu dan ruang demokrasi dengan alasan bahawa “Malaysia belum menjadi negara maju,” justeru “kita sedang berhadapan dengan ancaman musuh” terutama dari Barat. Barat, terutamanya Amerika adalah alasan untuk Umno terus mengekang kebebasan di Malaysia. Faham dan alasan sebegini jelas jelek dan membayangkan sifat kuku besi parti pemerintah.

Saya sendiri dan teman-teman berikhtiar mempertahan amalan demokrasi dengan usaha sederhana saya bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Menang kalah lumrah. Keputusan serta langkah tersebut nampaknya tidak menjadikan AMK, mahupun parti terpecah-belah akibatnya; melainkan politik penawaran pandangan (idea) kepada perjuangan. Persaingan dan pertandingan yang jelek dan mainan politik sempit peribadi adalah mainan politik pemimpin Umno-BN; bukan di kalangan kita, parti pembangkang!

Saya juga terharu dan berbangga apabila Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang dengan jelas dan berani menghujahkan bagaimana demokrasi wajib diselamatkan dan keadilan ditegakan tatkala menyampaikan Ucapan Dasar beliau. Saya percaya, penyokong keadilan juga berbangga apabila mendengar bagaimana tokoh yang disifat sebagai "kepimpinan ulama" terus dapat bergabung dengan "kepimpinan profesional dan intelektual" dalam parti itu ~ satu perbincangan dan debat untuk menganyam setiap garis pemikiran dan barisan kepimpinan yang tidak mungkin terdengar dalam parti pemerintah.

Pas, sebagai sebuah parti yang berasas teologi, saya yakin bahawa faham demokrasi dan keadilan adalah sesuatu yang sama sekali tidak bercanggah dengan agama dan teks ketuhanan: sekaligus menyanggah usaha pemerintah yang terdesak memperlihatkan bahawa agama-dan-demokrasi selalu tidak seiringan, dan terus-terusan membayang, atau melabel Pas sebagai sebuah “parti aliran keras” yang menolak demokrasi.

Kepada sahabat kepimpinan yang menang, termasuk di dalam sayap Pemuda Pas, saya ucap tahniah. Saya tidak percaya yang kalah akan menyeberang ke dalam Umno, demi di sanubari kita jelas bagaimana kejahatan dan kezaliman komponen parti-parti pemerintah selama ini.

Kita sama bersetuju betapa perjuangan ke hadapan ialah dengan tumpuan kepada Pilihanraya Umum dan membentuk kerjasama antar-parti pembangkang, dan antara semua penganut agama dan kaum-bangsa demi mematahkan kuku tajam dan menumbangkan pemerintah yang berkeras kepala; yang memanjangkan kezaliman terhadap rakyat kita.

Semoga Tuhan menunjuk jalan dan memberi kemenangan… amin.


Hasmi Hashim,
Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

1 Jun 2007 / 15 Jamadil Awal 1428

[kembali ke halaman utama]